VTTSB hanya menyediakan perlindungan takaful berkelompok yang terhad seperti yang dinyatakan di dalam brosur. Sepertimana peruntukan peraturan 12 Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992, anda adalah sangat disarankan untuk mengambil insurans perjalanan tambahan untuk melindungi perjalanan anda. Anda bebas memilih syarikat insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda dan jenis perlindungan yang terbaik untuk diri anda. Apabila anda memilih untuk tidak mengambil insurans perjalanan tambahan, ianya bermaksud anda telah mengetahui dan bersetuju untuk menerima liabiliti dan risiko penalti pembatalan, gantirugi dan perbelanjaan tambahan di luar jangkaan tetapi tidak terhad kepada perbelanjaan kecemasan perubatan semasa perjalanan. Sekiranya anda telah membeli insurans tambahan, anda adalah dinasihatkan supaya menyemak semula terma-terma yang terkandung di dalam polisi insurans tersebut bagi memastikan bahawa perlindungan yang diperolehi mencukupi.
VACASIA SEBAGAI PIHAK KETIGA/PIHAK BERKECUALI
VTTSB adalah hanya perantara di antara anda dan syarikat-syarikat penerbangan, hotel penginapan, pengangkutan dan/atau pembekal perkhidmatan (ground supplier). VTTSB adalah bukan pemilik atau pengendali mana-mana syarikat penerbangan atau pengangkutan, hotel penginapan atau mana-mana tempat lawatan atau mana-mana pembekal yang berkaitan dengan pakej anda. Oleh yang demikian, VTTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi apa-apa kehilangan, kerosakan, kelewatan, kesusahan atau kecederaan yang menimpa anda akibat dari pecah kontrak, peninggalan samada disengajakan atau tidak atau kecuaian oleh syarikat penerbangan, syarikat hotel penginapan, syarikat pengangkutan dan pembekal perkhidmatan (ground supplier). Anda adalah dinasihatkan supaya membaca dengan teliti syarat-syarat dan terma tambahan ini sebelum bersetuju untuk melanggani pakej umrah atau percutian VTTSB. Syarat-syarat dan terma ini adalah tambahan kepada peruntukan terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992. Ianya tidak mengurangkan kuatkuasa peruntukan Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 dan di mana terdapat sebarang percanggahan, terma dan syarat di dalam Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992 adalah terpakai. Sebaik sahaja anda membayar deposit dan/atau menandatangani persetujuan untuk melanggani pakej umrah atau percutian VTTSB, anda telah terikat melalui kontrak dengan pihak VTTSB dan dianggap telah membaca dan bersetuju dengan semua syarat- syarat dan terma-terma tambahan ini.
Anda dikehendaki menyemak maklumat mengenai pakej yang ditempah sebelum membuat pembayaran deposit termasuk tetapi tidak terhad kepada harga pakej, tarikh penerbangan pergi dan balik dan waktu berlepas dan ketibaan, pakej yang dipilih termasuk hotel penginapan dan jenis bilik yang dipilih dan lain-lain maklumat seperti yang tertera pada resit pembayaran dan/atau surat pengesahan. Anda adalah dianggap telah bersetuju dengan semua maklumat di dalam resit atau surat pengesahan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang risiko atau kos tambahan pada pakej anda sekiranya anda gagal melaporkan sebarang kesilapan atau peninggalan di dalam butiran pakej anda dalam tempoh 24 jam dari tarikh resit atau surat pengesahan dikeluarkan.
VTTSB hanya menerima pembayaran secara tunai, draf bank, kredit kad atau cek persendirian. VTTSB berhak menahan penempahan pakej anda sehingga penunaian bayaran deposit melalui draf bank atau cek persendirian anda. VTSB tidak bertanggungjawab sekiranya pakej yang anda tempah telah habis dijual akibat kelewatan penunaian draf bank atau cek persendirian anda. Bagi pembayaran pakej yang kurang dari 7 hari bekerja sebelum tarikh penerbangan, VTTSB berhak untuk menolak pembayaran secara cek persendirian dan sekiranya tiada pembayaran pakej secara tunai dibuat, boleh mengakibatkan pakej anda terbatal secara automatik dan mana-mana bayaran pakej yang telah dibayar dilucutkan mengikut Jadual Keempat Akta Industri Pelancongan 1992.
Semasa penempahan pakej, semua butiran yang anda beri kepada VTTSB adalah maklumat yang akan diguna pakai oleh syarikat bagi menyempurnakan pakej yang anda langgani. Anda dikehendaki menyemak semua butiran/ maklumat peribadi sendiri sebelum membuat pembayaran deposit dan sekiranya tiada pembetulan dibuat, semua maklumat diberi adalah dianggap benar dan muktamad. VTTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kejadian atau masalah yang timbul akibat dari kesilapan butiran atau maklumat peribadi yang anda beri. Anda adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengisytiharkan tahap kesihatan anda sebelum membuat pembayaran deposit. VTTSB berhak untuk menolak tempahan anda sekiranya tahap kesihatan anda didapati membahayakan kesihatan dan keselamatan diri sendiri atau mengurangkan keselesaan atau keseronokan anggota lain di dalam kumpulan pelancongan anda. Sekiranya anda memerlukan bantuan disebabkan oleh tahap kesihatan anda, anda diwajibkan membawa ahli keluarga lain untuk membantu anda sepanjang perjalanan dan membawa sendiri peralatan bantuan seperti kerusi roda dan ubat-ubatan sendiri. VTTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga anda secara peribadi atau memberikan ubat-ubatan sekiranya anda sakit. Sekiranya keadaan anda memerlukan penjagaan secara peribadi, VTTSB berhak mengenakan bayaran tambahan kepada anda bagi mengupah pihak ketiga untuk menjaga anda.
Pakej anda adalah termasuk tiket penerbangan dari KLIA/KLIA 2 ke destinasi yang dituju sahaja tetapi tidak termasuk tiket penerbangan domestik ke KLIA/ KLIA 2. Walaupun surat pengesahan berserta jadual penerbangan anda telah dicetak, jadual tersebut masih tertakluk kepada pindaan oleh syarikat penerbangan. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku sebarang perubahan atau pindaan jadual penerbangan, VTTSB tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebarang gantirugi termasuk tetapi tidak terhad kepada menggantirugi bayaran perubahan tiket domestik, hotel tambahan atau lain-lain kesusahan akibat dari pindaan tersebut. VTTSB juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan gantirugi, yang timbul akibat dari pertukaran jadual, kelewatan, pembatalan, missed connection, masalah mekanikal, cuaca buruk, penyusunan semula tempat duduk di dalam penerbangan, kehilangan/ kelewatan bagasi, kelewatan pemeriksaan imigresen dan / atau penolakan menaiki penerbangan oleh syarikat penerbangan.